Menjaga Kesihatan Adalah Tanggungjawab Bersama

MARILAH kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu istiqamah dalam mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Dengan yang demikian, mudah-mudahan kita akan menjadi umat yang terbaik dan unggul serta mendapat keredaan di dunia dan di akhirat. Mimbar jumaat pada hari ini akan membincangkan khutbah bertajuk Menjaga Kesihatan Adalah Tanggungjawab Bersama.

 

Allah s.w.t berfirman dalam surah at-tin ayat 4:

 

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk sebaik-baiknya.”

 

Allah s.w.t. yang bersifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sempurna serta telah menganugerahkan pelbagai nikmat kepada hambaNya di atas bumi ini.

 

Sidang Muslimin Rahimakumullah,

 

Pernahkah terlintas dalam fikiran kita sejenak apakah salah satu nikmat yang kita perolehi dan dapat kita rasai sehingga sama-sama kita dapat berkumpul bersama-sama di hari Jumaat yang penuh barkah ini? Apakah nikmat yang begitu tinggi nilainya sehingga tanpanya kita tidak akan mampu untuk meneruskan hidup ini dengan sempurna?

 

Itulah dia nikmat kesihatan. Kesihatan rohani dan jasmani.

 

Tahukah kita bahawa menurut satu kajian yang pernah dijalankan oleh Jabatan kesihatan Negeri Melaka menunjukkan penyakit tidak berjangkit atau penyakit-penyakit kronik yang berasaskan amalan gaya hidup tidak sihat seperti diabetis, sakit jantung, darah tinggi dan kanser telah menyumbang kepada jangka hayat yang kurang berbanding kadar jangka hayat peringkat kebangsaan. Kajian juga mendapati 22.2% golongan dewasa dan 27% remaja merupakan perokok tegar. Selain daripada penyakit penyakit kronik yang disebabkan amalan gaya hidup tidak sihat, penyakit berjangkit seperti denggi, HIV, AIDS juga menular dalam masyarakat, sebanyak 1267 kes dikesan sepanjang tahun 2010. Dalam satu kajian yang pernah dibuat di negara kita juga menunjukkan bahawa sejumlah 35.6% golongan masyarakat kita antara 18-69 tahun merupakan golongan yang mempunyai kolestrol yang tinggi. Ia juga merupakan peratus tertinggi berbanding dengan kaum lain.

 

Di Malaysia, penyakit jantung menjadi pembunuh nombor satu sejak tiga dekad yang lalu. Manakala kegagalan jantung menjadi punca 10 peratus daripada mereka yang dimasukkan ke wad.

 

 

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

 

Kesihatan yang baik menjadi idaman bagi semua orang. Dengan kesihatan ini, manusia dapat menjalani hidup dengan aman dan dapat melakukan kerja dan kegiatan harian dengan lancar dan baik. Dengan kesihatan ini juga, manusia dapat melaksanakan ibadah kepada Allah Taala dengan sempurna.

 

Dalam surah al-Qasas, Allah berfirman:

 

 

 

“…Sesungguhnya sebaik-baik orang yang kami ambil untuk bekerja ialah yang kuat dan yang beramanah.”

 

(Al-Qasas: 26)

 

Kuat yang dimaksudkan di sini termasuklah kesihatan rohani dan jasmani, berilmu, berkebolehan dan mantap imannya hingga menjadikan seseorang itu beramanah. Kesihatan jasmani, rohani dan social juga amat penting demi menjaga keselamatan dan kebahagiaan seseorang di dunia dan di akhirat. Tambahan pula kesihatan jasmani, rohani dan social ini merupakan unsur kesihatan yang menjadi asas bagi segala kegiatan. Tanpa kesihatan pada unsur-unsur tersebut, manusia akan mengalami masalah yang lebih berat untuk menghadapi ujian-ujian hidup.

 

 

Muslimin rahimakumullah,

 

Nikmat yang kita perolehi ini merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang perlu kita jaga dengan sebaik mungkin. Sekalipun kita tidak mampu untuk menolak musibah ataupun penyakit yang menimpa, namun sekurang-kurangnya usaha awal yang harus kita lakukan ialah memelihara dan menjaga kesihatan tubuh badan agar sihat dan mampu melaksanakan tanggungjawab kita terhadap Allah s.w.t. serta kegiatan harian kita.

 

Kesihatan yang baik kini menjadi satu agenda penting dalam kehidupan masyarakat hari ini. Kerana tubuh badan yang sihat lazimnya mempunyai daya tahan yang kuat terhadap serangan penyakit.

 

Masyarakat hari ini sering diberi galakan untuk menjaga kesihatan dan amalkan Gaya Hidup Sihat dengan pelbagai pihak bertungkus-lumus menyedarkan kita akan kepentingan menjaga kesihatan. Tidak kira golongan muda atau tua, yang masih sihat ataupun yang sedang mengalami sakit. 

 

Memastikan kesihatan yang baik amat dianjurkan oleh agama kita sendiri sebagai satu agenda penting yang harus kita amalkan. Islam menganjurkan umatnya menjaga kesihatan dan mencegah diri dari penyakit kerana dengan kesihatan yang baik umatnya dapat melaksanakan perintah Allah dengan sempurna. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

 

“Gunakanlah masa sihatmu sebelum masa sakitmu, masa mudamu sebelum masa tuamu, masa lapangmu sebelum masa sibukmu, masa kayamu sebelum masa miskinmu dan masa hidupmu sebelum masa matimu.”

 

Hadirin yang dirahmati Allah,

 

Makanan dan cara pemakanan merupakan faktor yang perlu kita beri perhatian dalam memastikan kesihatan yang baik. Makanan merupakan sumber penting dalam kehidupan setiap Muslim. Makanan yang baik bukan sahaja mengambil kira kandungan zat yang ada dalam makanan tersebut tetapi juga mengambil kira aspek kebersihan yang harus diberi penekanan. Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 168:

 

“Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kami mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesugguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.”

 

 

Bagi mencapai tahap status kesihatan yang baik disarankan supaya seseorang itu memakan makanan yang seimbang.  Dengan makanan yang seimbang ia dapat membekalkan zat makanan yang diperlukan untuk keperluan badan. Islam sendiri telah memberikan panduan untuk kita memakan pelbagai jenis makanan untuk membantu kita mendapatkan bahan makanan yang seimbang. Seperti yang disebut dalam ayat,

 

“Lalu Kami tumbuhkan biji-bijian di bumi itu, anggur dan sayur-sayuran, zaitun dan pohon kurma, kebun-kebun yang lebat dan buah-buahan serta rumput-rumputan untuk kesenangan dan untuk binatang-binatang ternakmu.”

 (Abasa: 27-30)

 

 

Jika kita lihat antara ilmu sains dan Islam, tidak ada percanggahan berhubung dengan pengambilan makanan yang baik dan berkhasiat selagi mana makanan tersebut boleh dimakan oleh umat Islam.

 

Selain makanan dan cara pemakanan, kita juga digalakkan untuk melakukan senaman. Senaman merupakan satu cara yang menyihatkan  dan menguatkan tubuh badan seseorang.

 

Dalam kita bersenam dan beriadah, batasan syariat mestilah dijaga agar ianya berada dalam batas yang diterima Islam. Diantaranya ialah: kita tanamlah niat yang betul. Senaman itu dibenarkan oleh syariat Islam. Tidak mendatangkan kemudharatan kepada diri sendiri atau orang lain. Senaman itu membawa manfaat, untuk menyihatkan tubuh badan untuk digunakan mentaati Allah. Tidak lalai dari melaksanakan tanggungjawab seperti solat dan sebagainya.

 

Sebagai langkah pencegahan, marilah kita bersama-sama membuat pemeriksaan kesihatan di Pusat - Pusat Kesihatan yang berdekatan, kerana ianya  merupakan salah satu langkah produktif untuk mengetahui tahap kesihatan seseorang kerana ia boleh dikesan dengan segera.
Penyakit seperti darah tinggi, darah rendah, kolesterol dan kencing manis boleh dikesan dalam masa yang singkat kerana kini sudah terdapat teknologi dan peralatan canggih untuk mengesan penyakit tersebut. Dapatkanlah pemeriksaan kesihatan di pusat-pusat kesihatan, klinik dan hospital yang berhampiran, bagi yang sedang menjalani rawatan, dengarlah pandangan dan nasihat daripada para doktor agar kesihatan kita dapat dijaga dengan sebaiknya.


“Orang ramai tidak seharusnya berasa takut untuk membuat pemeriksaan kesihatan kerana ia akan merugikan diri sendiri, malah kemungkinan penyakit dihidapi akan merebak dengan begitu cepat sekali, jika tidak mendapat rawatan yang sewajarnya.

 

 

Sidang Jumaat Yang Berbahagia

 

Amalangayahidup sihat merupakan satu usaha yang harus dilaksanakan dan menjadi tanggungjawab kita bersama. Namun sebagai manusia, kita tidak dapat menghalang sekiranya kesihatan yang dipelihara terganggu atau ditimpa penyakit. Penyakit yang datang merupakan suatu ujian. Hadapilah ia dengan tenang, dada yang lapang dan penuh keredhaan  serta kesabaran. Dengan perasaan demikian ia akan dapat menguatkan diri kita untuk berusaha mengubati penyakit yang datang dan tidak hanya merintih kesakitan tanpa berusaha sedikit pun untuk mengubati dirinya agar pulih seperti sediakala dan dapat melaksanakan ibadah dan perintah Allah s.w.t.

 

Sesungguhnya Allah telah menjadikan ubat yang boleh menyembuhkan semua penyakit. Sebagaimana maksud hadis Rasulullah s.a.w. yang Baginda pernah ditanya: “Ya Rasulullah, apakah kami akan berubat?” Rasulullah menjawab: “Tentu wahai hamba Allah, berubatlah kamu semua. Sesungguhnya Allah tidak menjadikan suatu penyakit melainkan telah menjadikan ubatnya.

 

 

Selain daripada mendapat rawatan, kita harus berusaha dengan berdoa dan bertawakkallah kepada  Allah Yang Maha Esa. Tanpa keizinanNya, kita sebagai hambaNya tidak akan mendapat kemampuan dan kekuatan untuk memelihara kesihatan dan juga tidak mampu untuk terus berusaha mengubati penyakit. Moga-moga kita semua akan mengorak langkah menjaga kesihatan kita, kerana menjaga kesihatan itu adalah tanggungjawab kita semua dan jangan  menyerahkan segalanya tanggungjawab itu kepada para doktor dan jururawat,kerana kita mampu untuk mengubahnya. Seterusnya kita pohonkan agar kita semua dianugerahkan oleh Allah dengan nikmat kesihatan yang baik untuk diri dan keluarga.. Insyaallah…

Written by JAIM

Hubungi Kami

  • 349A Mukim 7 Pulau Betong, Balik Pulau 11020 Pulau Pinang 
  • This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
  • 04-6553625 (phone / fax)

2011-2012 © Career2Zoom by Tunas Impian Venture (PG0280262-A). Hakcipta terpelihara.Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana bahagian artikel, ilustrasi , gambar dan isi kandungan majalah career2zoom ini dalam apa jua bentuk dan dengan apa cara sekalipun, sama ada secara elekronik, mekanik, rakaman atau cara lain sebelum mendapat izin bertulis daripada  Tunas Impian Venture.